Skuad berbasikal negara mula dapat rentak

SKUAD berbasikal negara sudah mula menemui rentak pada perlumbaan peringkat ketiga Jelajah Thailand 2017 semalam.

HARIFF tampil cemerlang apabila menduduki tempat kedua pada perlumbaan peringkat ketiga Jelajah Thailand 2017 semalam.

Selepas gagal mencatatkan sebarang kedudukan podium pada dua peringkat perlumbaan sebelum ini, pelumba negara, Mohd. Hariff Saleh akhirnya berjaya melakukan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan catatan masa 2 jam 23 minit 30 saat.

Pada perlumbaan sejauh 111 kilometer (km) yang bermula dari Phitsanulok hingga Uttaradit tersebut, podium pertama diraih oleh pelumba pasukan Team UKYO dari Jepun, Jon Abe­rasturi Izaga dengan catatan masa sama, manakala podium ketiga menjadi milik pelumba pasukan KSPO Bianchi Asia Cycling Team (Korea Selatan), Joonyong Seo.

Hariff yang juga pelumba tonggak pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menyifatkan kejayaannya menduduki podium tersebut adalah hasil daripada kerja berpasukan.

“Tanpa bantuan rakan pasukan yang lain, saya tidak mungkin dapat menaiki podium pada hari ini (semalam). Perlumbaan pada hari ini (semalam) sangat pantas, namun kami mampu mengharunginya dengan baik.

“Kita mempunyai strategi untuk melancarkan serangan menerusi Muhamad Nur Aiman Mohd. Zariff dan ia ternyata berkesan,” jelas Hariff ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hari ini, skuad negara bakal melalui perlumbaan peringkat keempat sejauh 120.65km bermula dari Uttaradit hingga Sukhothai, Thailand.

Dalam pada itu, jurula­tih negara, Syed Mohd. Hussaini Syed Mazlan mengakui skuad negara sudah mula mendapat rentak dan jika prestasi tersebut dapat dikekalkan, mereka bakal menikmati lebih banyak kejayaan pada peringkat seterusnya.